Anda sedang mencari tempat berbuka puasa di area Selangor atau Kuala Lumpur? Disini Cik Min nak kongsi ada banyak lokasi yang sesuai untuk anda berbuka puasa bersama rakan atau keluarga, ada juga tempat yang menyediakan makanan free untuk orang ramai, terutama bagi yang dalam kesempitan atau musafir.
Ramadan bukan je tentang puasa, tapi juga tentang berkongsi rezeki dan buat kebaikan. Dari masjid ke warung tertentu, orang ramai berkumpul, makan sama-sama, dan rasa kemeriahan Ramadan. Kalau nak berbuka dengan keluarga atau kawan-kawan, masjid selalunya jadi pilihan terbaik sebab suasana tenang dan makanan pun selalunya cukup untuk semua.
Jom kita tengok kat mana tempat berbuka puasa Selangor & KL yang best untuk berbuka bersama kawan atau keluarga.
Senarai Tempat Berbuka Puasa Selangor & KL
1. Masjid Al-Bukhari
Masjid Al-Bukhari yang terletak di Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur ni memang cantik dan tenang, sesuai sangat untuk berbuka puasa dan lepak sambil layan suasana. Seni bina dia ada gabungan moden dan tradisional, dengan kubah biru yang nampak klasik. Lokasi pun strategik, dekat je dengan stesen LRT Hang Tuah, senang nak pergi.
Kebiasaannya pada bulan Ramadan, masjid ni ada menyediakan juadah berbuka puasa percuma untuk jemaah. Pengunjung juga boleh menunaikan solat Maghrib, Isyak dan Terawih di sini. Masjid ini menyediakan ruang yang cukup untuk jemaah duduk dengan selesa, sama ada di dewan makan, dewan solat, atau kawasan lapang di luar masjid.
Selain itu, kemudahan seperti tandas, tempat wuduk, dan parkir juga tersedia, menjadikannya pilihan terbaik untuk berbuka puasa secara berjemaah dengan keluarga atau kawan-kawan.
2. Dataran Merdeka | Tempat Berbuka Puasa Selangor & KL

Dataran Merdeka mempunyai kawasan yang luas, dengan padang rumput hijau yang dikelilingi bangunan-bangunan kolonial klasik macam Bangunan Sultan Abdul Samad. Ketika bulan Ramadan, Dataran Merdeka jadi port best untuk berbuka puasa secara santai, ramai yang datang bawak tikar, duduk berkelah dengan family atau geng.
Lagi best, tempat ni dekat dengan bazar Ramadan Jalan TAR, so boleh beli makanan dulu sebelum cari port nak berbuka. Lepas berbuka, boleh terus solat Maghrib dekat Masjid Jamek yang tak jauh dari situ. Kalau nak feeling nostalgia sambil menikmati angin malam KL, memang syok lepak kat sini. Cuma kalau datang, jangan lupa jaga kebersihan, sebab tempat ni antara ikon utama Malaysia!
3. Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah | Tempat Berbuka Puasa Selangor & KL
Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, atau lebih dikenali sebagai Masjid Biru, adalah masjid terbesar di Selangor dan salah satu yang terbesar di Asia Tenggara. Setiap hari sepanjang Ramadan, masjid ni sediakan juadah berbuka puasa percuma untuk jemaah. Memang meriah, ramai orang datang untuk berbuka sama-sama dalam suasana yang penuh keberkatan.
Lepas berbuka, boleh terus solat Maghrib, Isyak, dan Tarawih, yang biasanya dipimpin oleh imam-imam berpengalaman. Selain ruang solat yang luas, masjid ni juga ada suasana yang tenang dengan seni bina yang mengagumkan. Kubah biru gergasi dan menara tinggi yang ikonik. Memang tempat yang sesuai kalau nak cari ketenangan sambil menghayati keindahan Ramadan.
4. Padang MBSA Dataran Shah Alam | Tempat Berbuka Puasa Selangor & KL

Terletak berhampiran Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, padang ini menjadi tumpuan ramai untuk berbuka puasa secara santai di kawasan lapang. Dengan suasana yang tenang dan luas, ia sesuai untuk mereka yang ingin menikmati juadah berbuka secara terbuka bersama keluarga atau rakan-rakan.
Anda juga boleh mendapatkan pelbagai pilihan makanan di Bazar Ramadan Seksyen 7 sebelum menuju ke sini. Jangan lupa bawa tikar atau alas duduk untuk lebih keselesaan!
Jika bercadang untuk berbuka di sini, sebaiknya datang lebih awal kerana tempat letak kereta agak terhad. Selepas berbuka, anda boleh terus ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk menunaikan solat Maghrib dan seterusnya solat Tarawih.
5. Padang Setia City Mall | Tempat Berbuka Puasa Selangor & KL

Padang Setia City Mall juga merupakan salah satu tempat berbuka puasa Selangor sesuai di Setia Alam. Terletak bersebelahan dengan pusat beli-belah Setia City Mall, kawasan ini sering menjadi tumpuan keluarga dan kumpulan rakan-rakan untuk berkelah sambil menikmati juadah berbuka.
Anda boleh membeli makanan di dalam pusat beli-belah atau di bazar berhampiran sebelum menuju ke padang untuk berbuka dalam suasana yang nyaman dan terbuka. Namun, disarankan datang lebih awal untuk mendapatkan tempat yang selesa, terutama pada hujung minggu. Selepas berbuka, anda boleh menunaikan solat di surau dalam Setia City Mall atau ke masjid berdekatan seperti Masjid Bandar Setia Alam.
Peralatan yang perlu di bawa ketika berbuka di luar:
Kalau nak berbuka puasa di luar, terutama di kawasan masjid atau tempat terbuka macam Dataran Merdeka, elok bawa beberapa peralatan untuk keselesaan. Antara yang boleh dibawa:
- Tikar mini – Senang nak duduk selesa, tak perlu risau lantai berpasir atau basah.
- Sejadah lipat – Untuk solat Maghrib, Isyak, dan Tarawih, sejadah yang ringan dan boleh lipat ni memang praktikal.
- Telekung – Untuk wanita, elok bawa telekung sendiri supaya lebih selesa solat di mana-mana.
- Botol air – Kadang-kadang bila berbuka di luar, nak cari air minum pun jadi susah. Bawa botol air sendiri supaya boleh refill atau simpan air dengan lebih mudah.
- Tisu basah & tisu kering – Untuk lap tangan, muka, atau bersihkan tempat makan sebelum dan selepas berbuka. Tisu basah juga berguna kalau tiada tempat cuci tangan berhampiran.
- Beg plastik atau sampah kecil – Penting untuk kumpul sampah sendiri supaya tempat berbuka kekal bersih.
Setakat ini sahaja perkongsian Cik Min tentang “Tempat Berbuka Puasa Selangor & KL”. Jumpa di lain postingan dan jangan lupa untuk membaca artikel menarik di Support Lokal!
Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.