Setiap kali menjelang Aidilfitri, ada beberapa jenis kuih raya wajib ada di atas meja sebagai hidangan untuk tetamu dan keluarga. Kuih raya bukan sekadar pemanis mulut, tetapi juga membawa nostalgia dan kemeriahan suasana perayaan yang diraikan bersama orang tersayang.
Dari generasi ke generasi, kuih raya menjadi tradisi yang terus dikekalkan, dengan setiap jenis mempunyai keunikan tersendiri, baik dari segi rasa, tekstur mahupun cara pembuatannya. Antara kuih raya paling popular yang sentiasa menjadi pilihan ramai termasuklah Tart Nanas, Almond London, Semperit, dan Kuih Makmur.
Resepi Jenis Kuih Raya Wajib Ada:
1. Tart Nanas | Jenis Kuih Raya Wajib Ada

Tart Nanas adalah antara jenis kuih raya wajib yang paling ikonik dan digemari ramai. Kuih ini terkenal dengan tekstur pastrinya yang lembut dan rapuh, diisi dengan jem nanas yang manis dan sedikit masam, mencipta keseimbangan rasa yang sempurna. Bentuknya juga pelbagai, daripada bentuk gulung hingga bentuk bunga yang dihias dengan jaluran jem di atasnya.
Berikut adalah resepi Tart Nanas Gulung yang diadaptasi daripada ResepiCheNom:
Bahan-Bahan
Jem Nanas:
- 2 biji nanas, diparut dan ditoskan airnya
- 600 gram gula
- 1 batang kayu manis
- 2-3 titik pewarna kuning (jika suka)
Doh Tart:
- 125 gram mentega premium
- 1 sudu besar gula kastor
- 1 biji kuning telur
- 1 sudu besar minyak sapi
- 1 ¾ cawan tepung gandum
- ¼ cawan tepung jagung
- 1 sudu besar tepung kastard
- ½ sudu kecil garam halus (jika menggunakan mentega tanpa garam)
Sapu Hiasan:
- 1 biji kuning telur
- 1 sudu air
- Setitik pewarna kuning
Cara-Cara
Penyediaan Jem Nanas:
- Masak nanas yang telah diparut bersama gula hingga hampir kering.
- Masukkan pewarna kuning dan kayu manis. Masak dengan api perlahan sehingga jem agak kering dan pekat.
Penyediaan Doh Tart:
- Pukul mentega pada suhu bilik bersama gula hingga putih dan berkrim.
- Masukkan kuning telur, minyak sapi, dan garam. Kacau hingga sebati.
- Ayak tepung gandum, tepung jagung, dan tepung kastard. Masukkan sedikit demi sedikit ke dalam adunan mentega hingga menjadi doh yang lembut. Rehatkan seketika.
Pembentukan Tart:
- Masukkan doh ke dalam acuan tart. Tekan dan gulung bersama jem nanas yang telah digentel kecil memanjang. Susun di atas loyang yang dialas dengan kertas pembakar atau digriskan dengan mentega.
- Kacau sebati kuning telur, air, dan pewarna kuning untuk sapuan hiasan. Sapu di atas tart gulung.
- Panaskan oven pada suhu 175°C. Bakar tart selama 20-25 minit atau hingga keemasan.
2. Almond London – Kombinasi Rangup Badam dan Coklat Manis

Almond London pula merupakan jenis kuih raya wajib bagi penggemar coklat dan kekacang. Jenis kuih raya wajib ini terdiri daripada biskut yang mengandungi kacang badam di tengahnya, disalut dengan coklat leleh yang lazat, kemudian ditaburkan dengan hiasan seperti badam cincang atau manik kecil.
Resepi Almond London yang diadaptasi daripada rona.my
Bahan-Bahan
- 300g tepung gandum
- 200g tepung jagung
- 150g gula halus
- 250g mentega (butter)
- 50g corn flakes (dikisar)
- 1 sudu kecil baking powder (diayak)
- 1 sudu kecil esen vanila
- 1 biji telur
- Badam hancur untuk hiasan
Cara Penyediaan
- Pukul mentega dan telur sehingga sebati.
- Masukkan esen vanila, baking powder (diayak terlebih dahulu supaya tidak berketul) dan gula halus. Pukul sehingga kembang.
- Masukkan corn flakes, tepung gandum, dan tepung jagung sedikit demi sedikit sambil diuli sehingga doh tidak melekat pada tangan.
- Bentukkan doh mengikut saiz pilihan.
- Bakar pada suhu 190°C selama 20 minit.
Lapisan Coklat
- 500g coklat masakan (KC Candy)
- Jika menggunakan jenama lain, tambahkan shortening atau coco butter untuk hasil yang lebih baik.
- Cairkan coklat, kemudian celupkan biskut yang telah dibakar ke dalam coklat cair.
- Taburkan badam hancur sebagai hiasan.
- Biarkan coklat mengeras sebelum disimpan.
3. Semperit | Jenis Kuih Raya Wajib Ada

Kuih Semperit adalah antara jenis kuih raya wajib yang masih mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Ia terkenal dengan bentuk bunga dahlia dan warna kuning keemasan yang menarik. Teksturnya sangat lembut dan cair di mulut, menjadikan setiap gigitan penuh dengan rasa mentega yang kaya.
Resepi Semperit Klasik yang diaptasi daripada rasa.my
Bahan-Bahan:
- 2 cawan tepung gandum
- 1 cawan tepung kastard
- 1 cawan tepung jagung
- 1 cawan marjerin
- 1 cawan gula aising
- 2 biji kuning telur
- 1 sudu kecil esen vanilla
- Gula manik urai untuk hiasan
Cara-Cara:
- Ayak tepung gandum, tepung kastard, dan tepung jagung ke dalam satu bekas.
- Dalam bekas lain, pukul marjerin dan gula aising hingga kembang dan sebati.
- Masukkan kuning telur dan esen vanilla, kacau hingga sebati.
- Masukkan campuran tepung sedikit demi sedikit dan uli hingga menjadi doh yang lembut.
- Masukkan doh ke dalam acuan semperit dan tekan di atas dulang pembakar yang dialas dengan kertas minyak.
- Hiaskan dengan gula manik urai.
- Bakar dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 170°C selama 10-15 minit sehingga keemasan.
- Biarkan sejuk sebelum disimpan dalam bekas kedap udara.
4. Kuih Makmur – Kelembutan Tepung Bersalut Gula dengan Inti Kacang

Kuih Makmur adalah jenis kuih raya wajib tradisional yang berasal dari warisan Melayu. Kuih ini mempunyai tekstur yang lembut, diperbuat daripada tepung gandum yang disangai dan diuli hingga mencapai kelembutan yang sempurna. Di dalamnya, terdapat inti kacang tanah yang beraroma, keseluruhan kuih disalut dengan gula halus untuk memberikan rasa manis yang memikat.
Resepi Biskut Makmur yang diadaptasi daripada ResepiCheNom:
Bahan-Bahan:
- 500g tepung gandum
- 2/3 cawan gula aising
- 1 tin kecil minyak sapi
- Paper cup untuk menghidang
- 200g kacang tanah, digoreng tanpa minyak
- 3/4 cawan gula aising
- 1 sudu besar mentega kacang (pilihan)
- Sedikit gula aising untuk disalut
Cara-Cara:
- Penyediaan Doh:
- Sangai tepung gandum dalam kuali tanpa minyak selama 4-5 minit.
- Ayak tepung bersama gula aising.
- Gaulkan campuran tepung dan gula dengan minyak sapi sedikit demi sedikit sehingga menjadi doh yang lembut dan boleh diuli.
- Penyediaan Inti:
- Kisar kacang tanah yang telah digoreng hingga halus.
- Campurkan kacang kisar dengan gula aising dan mentega kacang (jika digunakan) sehingga sebati.
- Pembentukan Biskut:
- Ambil satu sudu besar doh untuk memastikan saiz biskut seragam.
- Leperkan doh, letakkan sedikit inti kacang di tengah, kemudian tutup dan bentuk menjadi bujur.
- Pembakaran:
- Susun biskut di atas loyang.
- Bakar dalam oven yang telah dipanaskan pada suhu 150-160°C selama 10-15 minit.
- Salutan Gula:
- Setelah biskut sejuk, salutkan dengan gula aising dan letakkan dalam paper cup untuk dihidangkan.
Setakat ini sahaja perkongsian Cik Min tentang “Jenis Kuih Raya Wajib Ada”. Jumpa di lain postingan dan jangan lupa untuk membaca artikel menarik di Support Lokal!
Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.