Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar, atau lebih dikenali sebagai SPKLB merupakan sebuah inisiatif kerajaan bagi memberi kemudahan sokongan kepada para usahawan luar bandar dalam mengukuhkan dan mengembangkan perniagaan mereka.
Program SPKLB juga menyediakan peluang buat para usahawan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan bagi tujuan pemasaran yang lebih meluas.
Cik Min rasa, inisiatif begini sangat membantu para usahawan di luar bandar! Oleh itu, mari Cik Min kongsikan kepada anda dengan lebih lanjut tentang Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar (SPKLB) yang bernaung di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah ini.
Antara Objektif Program SPKLB
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah bukan sahaja memberikan bantuan dari aspek kewangan, malahan mereka juga turut memberi bantuan dari aspek pembelajaran buat para usahawan luar bandar.
Buat setiap usahawan luar bandar yang memohon, anda akan memperoleh bermacam-macam latihan untuk mengukuhkan serta mengembangkan perniagaan. Antara objektif Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar adalah:
- Memberi pilihan bagi para usahawan untuk meperoleh bantuan kewangan dalam mengembangkan perusahaan.
- Menyediakan platform kepada usahawan untuk mendapatkan latihan berkaitan perniagaan dan produk.
- Membantu usahawan melalui pelaksanaan program berkaitan, untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan.
- Menggalakkan usahawan untuk membangunkan produk dan perkhidmatan bagi meluaskan pasaran.
Syarat Permohonan Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar
Cik Min yakin, ramai usahawan luar bandar layak memohon kerana syaratnya juga sangat mudah untuk difahami. Jom kita lihat syarat-syaratnya.
- Warganegara Malaysia.
- Berumur 21 tahun dan ke atas.
- Permohonan terdiri daripada milikan tunggal, perkongsian atau syarikat Sendirian Berhad (Sdn Bhd).
- Pemohon tidak disenarai hitam oleh mana-mana institusi kewangan.
- Perniagaan telah beroperasi sekurang-kurangnya satu (1) tahun dan menjalankan perniagaan sepenuh masa.
- Perniagaan beroperasi dan mempunyai alamat berdaftar di luar bandar dengan merujuk kepada takrifan senarai Parlimen di bawah Majlis Pembangunan Luar Bandar.
- Perniagaan perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Semenanjung Malaysia atau Ordinan Perniagaan di Sabah & Sarawak.
- Mempunyai lesen berniaga iaitu kebenaran menjalankan perniagaan daripada Pihak Berkuatkuasa Tempatan (PBT), atau pengesahan di Luar Kawasan Seliaan oleh PBT, atau lain-lain peraturan pihak berkuasa berkaitan.
- Memiliki premis perniagaan yang bersesuaian.
- Jumlah pendapatan tahunan kurang dari RM200,000.
Kemajuan Ekonomi Usahawan Luar Bandar
Program SPKLB ini bukan sahaja dapat membantu para usahawan luar bandar untuk lebih menerajui bidang perniagaan, malah ia juga boleh membantu kemajuan ekonomi usahawan luar bandar yang terjejas akibat Covid-19 yang lalu.
Mana-mana usahawan luar bandar adalah layak untuk memohon kerana terdapat banyak skop utama pengukuhan keusahawanan yang ditawarkan seperti perkhidmatan, produk makanan dan minuman, pembuatan/perkilangan, pertanian (Industri hiliran/teknologi), ICT dan kreatif teknologi, serta kesejahteraan (wellness).
Untuk mendapatkan info lanjut tentang program SPKLB, anda boleh klik di sini.
Setakat ini sahaja perkongsian Cik Min tentang “Program Sokongan Pengukuhan Keusahawanan Luar Bandar“. Jumpa lagi di lain postingan dan jangan lupa membaca lebih banyak artikel menarik di Support Lokal.
Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.
Perlu modal peralatan/mesin