Adakah anda tahu tentang implementasi program eUsahawan MDEC? Pada 22 Mei 2023 yang lalu, Kementerian Komunikasi dan Digital telah melancarkan Program eUsahawan melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
Program eUsahawan ini dilancarkan bagi membina budaya lebih inklusif dalam penggunaan teknologi digital. Baca seterusnya bagi mengetahui tentang program eUsahawan ini!
Tujuan Program eUsahawan | Implementasi Program eUsahawan MDEC

Menurut Timbalan Menteri Komunikasi dan Digital, Teo Nie Ching, program ini adalah bertujuan untuk menggalakkan pembangunan kemahiran keusahawanan digital, khususnya dalam bidang e-dagang dan pemasaran digital.
Semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat, beliau menyimpulkan bahawa, Program eUsahawan ini menyediakan pelbagai latihan kemahiran digital untuk para usahawan dan peniaga kecil di seluruh Malaysia, secara dalam talian dan juga bersemuka.
Modul Latihan eUsahawan
Menjawab soalan daripada Gobind Singh Deo (HARAPAN-Damansara) mengenai inisiatif yang telah dijalankan agensi kerajaan dalam mempromosikan perniagaan digital serta langkah bagi membantu syarikat tempatan di pasaran global, Teo menyatakan bahawa MDEC telah menyediakan beberapa modul latihan eUsahawan sejak 2015. Antara modul tersebut adalah “Fundamental eUsahawan.”
Modul ‘Fundamental eUsahawan’ ini memberi tumpuan kepada latihan asas keusahawanan digital seperti pengurusan perniagaan, keusahawanan, digitalisasi dan pemasaran digital.

Beliau juga menyatakan bahawa bermula tahun ini, latihan eUsahawan modular telah diperkenalkan untuk menyediakan latihan pengurusan, pemasaran, dan teknologi digital khusus.
Hal ini termasuklah strategi model perniagaan, pembangunan kandungan kreatif, penggunaan platform media sosial, dan pengurusan platform e-dagang.
Beliau menyatakan bahawa inisiatif-inisiatif ini diharapkan dapat membantu perniagaan tempatan dalam mempromosikan dan mengembangkan operasi mereka di pasaran tempatan serta pasaran global.
Sistem Kerjasama yang Luas | Implementasi Program eUsahawan MDEC
MDEC juga mempunyai sistem kerjasama yang luas dengan 15 negara, termasuk di Asia Tenggara (Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam, Kemboja), Taiwan, Hong Kong, Australia, Jepun, Emiriah Arab Bersatu (Dubai), Arab Saudi, dan Bangladesh. Selain itu, MDEC juga sedang meneroka peluang di Korea Selatan, Turki, dan United Kingdom.
Menurut Teo lagi, antara langkah yang diambil untuk membantu syarikat tempatan mengakses pasaran global ialah menghubungkan dan membantu syarikat dalam mesyuarat padanan perniagaan yang melibatkan rakan perniagaan ekosistem.
Bukan itu sahaja, MDEC juga turut memperluaskan Geran X-port Digital Malaysia (MDXG) kepada syarikat-syarikat yang berkelayakan. Jadi, pastikan anda ambil tahu tentang implementasi program eUsahawan MDEC dengan lebih baik jika ingin meluaskan perniagaan melalui digital marketing ya!
Sekian sahaja perkongsian Cik Min tentang “Implementasi Program eUsahawan MDEC”. Untuk mendapatkan lebih banyak artikel menarik, anda boleh layari laman portal Support Lokal.
Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.