Setiap kali ramadan tiba, peniaga Chef Ammar Al-Ali sering menjadi bualan warga Malaysia. Dalam tidak sedar, pada Ramadan tahun ini juga, nama dan video-videonya tetap viral di media sosial seperti biasa.
Dengan kuasa viral laman media sosial ini jugalah kita berpeluang untuk mengenali peniaga hebat bernama Chef Ammar Al-Ali ini tau! Jadi, jika anda ingin mengetahui lebih lanjut tentang Chef Ammar Al-Ali, pastikan anda baca perkongsian Cik Min sehingga ke penghujungnya.
Siapakah Chef Ammar?
Chef Ammar Al-Ali merupakan seorang peniaga dan chef celebriti yang lahir di Palestin. Dengan lebih dari 18 tahun pengalaman dalam industri hospitaliti dan F&B, beliau juga mempunyai rancangan memasak Ramadan sendiri bersama stesen TV terkenal.
Bukan itu sahaja, Chef Ammar Al-Ali juga turut mengambil bahagian dalam pelbagai acara TV, seorang peniaga gerai di bazar ramadan, serta mempunyai restorannya yang tersendiri.
Beliau juga telah dikreditkan di atas usaha beliau untuk memperkenalkan rakyat Malaysia kepada masakan Mediterranean. Masakan Chef Ammar ini telah melayakkan beliau untuk memperoleh gelaran “Raja Lamb Shank” daripada para peminat di seluruh Malaysia.
Chef Ammar Al-Ali Raja Lamb Shank
Salah satu hidangan Timur Tengah yang paling lazat dan popular adalah dikenali sebagai nasi Arab. Seperti semua sedia maklum, rakyat Malaysia dan nasi memang sukar dipisahkan! Ekoran itu jugalah, gerai Chef Ammar di Bazar Ramadan USJ 4, pada tahun yang lalu telah diterima orang ramai dengan sangat baik.
Setiap hidangan lamb shank beliau adalah seberat 400g, dan ia dihidangkan bersama nasi mandi yang dihiasi aroma kunyit yang aromatik. Dek kualiti premiumnya yang setanding hotel 5 bintang, maka harganya juga boleh mencecah sehingga RM30 setiap satu hidangan.
Jika anda merasakan ia agak mahal, anda juga perlu memikirkan kos, waktu dan juga tenaga yang beliau usahakan untuk menghasilkan hidangan hebat tersebut ya…
Bagi memastikan hidangan daging lamb shank adalah lembut, ia perlu dimasak selama lebih dari tiga jam tau! Itu baru lamb shank, belum cerita tentang penyediaan bahan, nasi mandi, kos elektrik, kos pekerja dan banyak lagi.
Di samping itu, hidangan lamb shank ini turut dimasak bersama rempah-rempah seperti jintan, ketumbar, dan kunyit, supaya tidak mempunyai rasa hamis. Jika hidangan lamb shank tidak hamis, barulah lagi berselera nak makan! Memang tidak hairanlah jika Chef Ammar digelar sebagai Raja Lamb Shank.
Seorang Peniaga yang Dermawan
Selain daripada seorang peniaga yang berjaya, beliau juga seorang yang banyak beramal. Pada tahun lepas, Chef Ammar turut berkongsi rezeki dan juadah berbuka puasa bersama lebih kurang 1,037 anak yatim. Sumbangan bagi majlis berbuka puasa itu telah diberikan kepada semua anak yatim dari 20 buah rumah kebajikan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Dalam pada itu, Chef Ammar melahirkan rasa syukur atas sokongan orang ramai walaupun pernah berhadapan dengan pelbagai kontroversi bagi gerai bazar ramadan beliau terdahulu. Namun, begitulah hakikat dalam perniagaan. Pada Cik Min, Chef Ammar memang kental orangnya!
Kita juga wajarlah mencontohi sifat dermawan yang ada pada diri Chef Ammar ini. Bak kata orang, tidak rugi sesorang itu dalam berkongsi rezeki. Semoga para peniaga di luar sana dapat membina kejayaan dalam perniagaan, di samping berusaha menjadi lebih dermawan juga ya!
Berminat untuk mengetahui tentang peniaga Chef Ammar Al-Ali dengan lebih lanjut? Anda boleh ikuti beliau di kesemua platform media sosial seperti berikut:
Website | Facebook | Instagram | TikTok | YouTube
Setakat itu sahaja perkongsian Cik Min tentang “Peniaga Chef Ammar Al-Ali “. Jumpa di lain postingan dan jangan lupa untuk membaca artikel menarik di Support Lokal!
Penafian: Pengendali web tidak bertanggungjawab terhadap komen atau catatan pengirim dalam ruangan ulasan laman ini. Komen atau catatan yang tertera adalah tanggungjawab pengirim sepenuhnya.